05 April 2010

Zaman sekarang tegur boleh mati

KOTA BHARU: Puncanya hanya kerana menghayunkan tongkat akibat memarahi tindakan seorang wanita membuang sampah, namun malang bagi seorang warga emas apabila dibelasah beberapa individu di Lorong Tok Gading, dekat sini, pada 30 Mac lalu.

Berikutan itu, lelaki terbabit yang juga seorang tukang urut, Mamauod Talib, 55, terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, kerana cedera parah di kepala akibat dipukul menggunakan objek keras.


Mangsa yang kritikal kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, kira-kira jam 12.30 tengah malam Khamis lalu.


Bagaimanapun, selepas menerima rawatan dua hari, warga emas itu yang mempunyai tujuh anak disahkan meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian belakang kepala dan tulang pipi.


Menceritakan detik menyayat hati menimpa arwah suaminya, Siti Fatimah Awang, 50, berkata, sebelum kejadian, arwah suami bersama anak bongsu, Nur Fatihatu Mujahadah, 3, menaiki motosikal keluar mencari tukang untuk membaiki pendawaian elektrik kira-kira jam 6.30 petang.


“Ketika saya berada di belakang rumah bersama kambing peliharaan, jiran memberitahu suami dipukul. Saya kemudian bergegas ke tempat kejadian yang jaraknya kira-kira 50 meter.

“Pada masa sama, anak bongsu pulang memberitahu abahnya dipukul. “Ketika ke tempat kejadian, saya lihat suami dalam keadaan terlentang dan darah keluar dari mulutnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Tok Gading, semalam.


Menurutnya, dengan bantuan keluarga yang menghubungi pihak hospital, ambulans datang membawa suami ke HRPZ II untuk rawatan.


Katanya, berikutan keadaannya yang kritikal, arwah dirujuk ke HUSM dan pembedahan dilakukan sebelum disahkan meninggal dunia, malam Khamis lalu.


Suri rumah itu mendakwa, sebelum kejadian, suaminya dikatakan menegur seorang wanita warga emas berusia 70-an yang sedang membuang sampah di tepi jalan selain sempat menghayunkan tongkatnya ke arah wanita itu.

No comments:

Post a Comment