14 April 2010

Malaysia Mahu Tarik Lebih Ramai Pelajar Indonesia

MEDAN, 13 April (Bernama) -- Malaysia akan meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelajar Indonesia menyambung pengajian di institusi pendidikan tingginya (IPT).

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata pada masa ini republik itu berada di tempat ketiga selepas China dan negara-negara Timur Tengah dengan 14,000 pelajar yang mengikuti pengajian pelbagai bidang di IPT Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).

Sasaran adalah pelajar Indonesia yang tamat Sekolah Menengah Atas (SMA) yang berjumlah antara empat dan lima juta orang setahun, katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Beliau yang ditemui selepas perasmian Pameran Pendidikan Malaysia berkata langkah itu juga selaras dengan matlamat negara yang mahu menambah bilangan pelajara asing di Malaysia daripada 70,000 sekarang kepada 100,000.

Syed Munshe Afdzaruddin berkata sewajarnya juga pelajar Indonesia di Malaysia lebih ramai berbanding negara-negara lain memandangkan kedua-dua negara itu adalah tetangga dekat selain mempunyai persamaan budaya, bahasa dan cara hidup.

Pada masa ini pelajar asing di Malaysia datang daripada kira-kira 150 negara.

Terdahulu semasa berucap, Duta Besar itu berkata Malaysia harus menjadi destinasi utama rakyat Indonesia melanjutkan pelajaran kerana kerajaan Malaysia memastikan kualiti pendidikan yang ditawarkan adalah yang terbaik dan mendapat pengiktirafan seluruh dunia.

Selain itu kedudukan Malaysia yang dekat dengan Indonesia pula menjadikan pengangkutan lebih mudah dan murah, katanya.

Kadar yuran pengajian juga adalah kompetitif berbanding yuran di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Australia dan Jepun serta kadar tukaran wang yang tidak terlalu tinggi pula membantu pelajar dari segi kos.

"Kerajaan Malaysia juga mengharapkan pelajar-pelajar Indonesia yang sedang menuntut di Malaysia dan pelajar-pelajar yang sudah tamat belajar menjadi jambatan penghubung antara kedua-dua negara ini dan membantu menerangkan kenangan manis mereka semasa belajar di Malaysia.

"Mereka adalah bukti nyata bahawa belajar di Malaysia sungguh menyenangkan dan menyingkirkan apa-apa perasaan yang membimbangkan ibu bapa mereka di Indonesia," katanya.

Syed Munshe Afdzaruddin berkata pada masa yang sama Malaysia juga berhasrat untuk menambahkan bilangan pelajarnya di IPTA dan IPTS Indonesia.

Penambahan yang dicadangkan itu adalah bagi peringkat ijazah sarjana dan ke atas, khususnya dalam bidang-bidang baharu seperti undang-undang yang berasaskan undang-undang Belanda kerana berbeza dengan undang-undang berasaskan British di Malaysia.

Kini terdapat kira-kira 6,000 pelajar Malaysia di seluruh Indonesia yang kebanyakannya menuntut dalam jurusan perubatan.

Daripada jumlah itu, seramai 1,100 belajar di Medan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment