14 April 2010

1Malaysia satukan semua kaum

KUALA LUMPUR 13 April - Gagasan 1Malaysia tidak boleh disamakan dengan mana-mana gagasan lain, termasuklah One Israel seperti yang didakwa pihak tertentu baru-baru ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, gagasan 1Malaysia adalah untuk menyatukan masyarakat majmuk di negara ini yang diikat dengan perlembagaan Malaysia.

"Semua rakyat adalah sama dan mereka diikat di bawah perlembagaan negara, itu sudah cukup untuk menggambarkan 1Malaysia. Jika bukan rakyat Malaysia, mereka tidak terikat kepada perlembagaan.

"Tidak perlu ada suara sumbang atau mereka yang 'tidak sayang mulut' membangkitkan bermacam perkara mengenai gagasan ini semata-mata untuk bergaduh dan berbalah sesama kita rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis penyampaian sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) untuk mangsa ribut di Kampung Malaysia Tambahan di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, 27 pemilik rumah terbabit masing-masing menerima sumbangan wang tunai RM1,000 dan barang keperluan asas berjumlah RM200 dari MAIWP selepas rumah mereka rosak teruk dilanda ribut pada petang Ahad lalu.

Beberapa pemilik rumah di Pantai Dalam dan Salak Selatan yang turut dilanda ribut juga bakal menerima bantuan MAIWP selepas jumlah mangsa terlibat dapat dikenalpasti.

No comments:

Post a Comment