14 April 2010

JKR Ditegur, Laluan Gua Musang-Kuala Krai Banyak Kerosakan

GUA MUSANG, 11 April (Bernama) -- Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan meminta Jabatan Kerja Raya agar melakukan kerja-kerja pembaikan di laluan Gua Musang-Kuala Krai yang pada tahun ini sahaja telah mengorbankan 18 orang.

Ini kerana katanya, jalan itu didapati mengalami pelbagai kerosakan yang mungkin menyebabkan lebih banyak kemalangan maut berlaku.

"Saya sendiri yang memantau sepanjang jalan itu dan mendapati memang banyak berlaku kerosakan dan papan isyarat juga kurang serta ada juga garisan putih di tengah jalan yang telah pudar," katanya kepada pemberita, di sini Ahad.

Solah berkata beliau difahamkan perkara itu telah lama berlaku namun tidak ada tindakan menambahbaik dibuat oleh pihak bertanggungjawab.

Beliau bagaimanapun tidak menolak faktor kecuaian manusia juga menyumbang kepada kemalangan di kawasan itu.

Bimbang dengan statistik kemalangan maut di kawasan berkenaan, Solah berkata JPJ akan mengadakan rondaan 24 jam di sepanjang jalan terbabit.

"Selain itu, kita juga memasang kamera yang dikenali sistem penguatkuasaan automatik di 11 lokasi Jalan Gua Musang-Kuala Krai antaranya di KM 13.8, 22.2, 38 dan 63 yang kerap berlaku kemalangan maut dan jika pengguna melanggar peraturan termasuk memandu laju akan dicatatkan kelajuannya itu dikenakan tindakan," katanya.

Sejak 2008 hingga hari ini laluan itu telah mengorbankan 87 orang, iaitu 36 orang pada tahun 2008, 33 orang pada tahun lepas dan tahun ini 18 orang setakat ini.

-- BERNAMA

Usah Bimbang Peranan Dr Koh Dalam Jawatankuasa Antara Agama - Muhyiddin

RAWANG, 12 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata orang ramai tidak perlu bimbang berhubung peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang bertanggungjawab terhadap Jawatankuasa Antara Agama, kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan pertikaian berkaitan agama.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata jawatankuasa itu berperanan untuk memberi ruang dalam usaha mewujudkan persefahaman dan perpaduan di antara kaum dan agama di negara ini.

"Jawatankuasa ini dibuat dalam bentuk pentadbiran di bawah Jabatan Perdana Menteri, mungkin ada hasil-hasil perbincangan yang boleh digunakan sebagai panduan untuk tambah baik perhubungan antara kaum yang boleh kita ambil.

"Tetapi soal-soal tentang kedudukan agama Islam itu tidak akan disentuh, kedudukan dan martabatnya tidak akan disentuh, kita kena hormat antara agama dan wujudkan semangat kerjasama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran permulaan prasekolah swasta Kementerian Pelajaran di Bandar Sungai Buaya di sini pada Isnin.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi membantah Jawatankuasa Antara Agama untuk menyelesaikan pertikaian berkaitan agama diletakkan di bawah tanggungjawab Dr Koh kerana ia membabitkan soal agama Islam.

Mengulas pendapat Pengerusi Perkasa Datuk Ibrahim Ali bahawa pelantikan bekas Anggota Parlimen Kota Baharu Datuk Ilani Ishak sebagai pengerusi jawatankuasa itu juga tidak bertepatan, Muhyiddin berkata Ilani mempunyai pengalaman dan peluang harus diberikan untuk beliau menerajui jawatankuasa itu.

"Ilani ada pengalaman, kita bagi dia peluang, wakil-wakil dari Majlis Fatwa Kebangsaan pun ada, dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pun ada, saya tak fikir kita harus bimbang," katanya.

Pada 6 April lalu, kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Antara Agama yang dianggotai oleh wakil semua agama tanpa campur tangan mana-mana anggota politik bagi memupuk kefahaman antara penganut-penganut pelbagai agama di negara ini.

-- BERNAMA

Jangan Habiskan Masa Untuk Berpolitik Sahaja, Titah Sultan Selangor

SHAH ALAM, 12 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Isnin tidak mahu ahli-ahli politik negeri Selangor menghabiskan masa yang banyak dengan berpolitik sahaja tanpa mengira tempat dan masa.

"Di dalam Dewan ini, gunakanlah kesempatan yang terhad untuk membincangkan dasar-dasar yang baik dan janganlah berkelakuan yang tidak sepatutnya. Semua Ahli Dewan harus memberi contoh baik (mengenai) akal-budi kepada semua," titah baginda pada majlis perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor ke-12 di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah sebagai Ketua Negeri, baginda ingin melihat Selangor terus berkembang maju dan kerajaan dapat menjalankan amanah kepada rakyat dengan cekap dan lancar.

"Beta sedar dalam politik tidak mungkin ada 100 peratus persetujuan dan memang diakui bahawa sistem semak dan imbang diperlukan bagi memastikan semua kepentingan dapat diteliti," titah baginda yang ingin melihat semua pihak melaksanakan sistem yang ada atas landasan amanah dan bukan isu peribadi akibat perbezaan politik.

Baginda bertitah, Perlembagaan Negara memberikan hak kepada semua pihak dan sifat perlembagaan sebenarnya untuk melindungi rakyat sama ada daripada segi politik, ekonomi dan sosial.

"Justeru itu, fahamilah Perlembagaan Negara agar kita tidak berlebihan dalam usaha menuntut hak masing-masing," titah baginda.

Selaras dengan peruntukan Perlembagaan, baginda bertitah, penjawat awam wajib mengamalkan sikap neutral (berkecuali), profesional, prinsip kecemerlangan, etika yang unggul dan peka terhadap kerajaan yang memerintah serta mematuhi undang-undang negara.

"Prinsip profesional dan berkecuali di sini bererti ia bertugas untuk kerajaan semasa yang memerintah dan membuat keputusan adil tanpa mengira sentimen politik, agama dan kaum," titah baginda.

Selangor merupakan penyumbang utama kepada pendapatan negara dianggarkan sebanyak 21 peratus dan dalam hal ini kerajaan negeri dan persekutuan saling memerlukan, titah baginda.

"Beta berharap kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dipereratkan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Selangor yang beta kasihi ini," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga bertitah dasar liberalisasi ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan harus disambut sebagai cabaran menempatkan perkhidmatan bermutu demi faedah rakyat Selangor kerana ia penting supaya negeri ini tidak ketinggalan ketika pelaburan luar masuk dengan banyaknya.

Justeru, Kerajaan Selangor harus memikirkan produk-produk pelancongan sama ada berbentuk alam sekitar yang asli atau lokasi buatan manusia, budaya-agama atau program-program berkala dengan tema-tema tertentu, titah baginda.

Baginda bertitah perkhidmatan pengangkutan awam dan khidmat pengguna yang berkesan amat diperlukan bagi menjayakan aspirasi ini yang akan memberi kesan positif untuk semua pihak sama ada negeri, penggerak industri perkhidmatan atau pelancongan.

Jentera Kerajaan Negeri juga perlu membuat anjakan paradigma untuk meningkatkan produktiviti kerja dan baginda menekankan Petunjuk Prestasi Utama(KPI) dapat dikemas kini dan dipantau dengan rapi.

Sultan Sharafuddin juga bertitah bahawa baginda juga prihatin terhadap perkembangan jenayah di Selangor dan faham bahawa hal jenayah merupakan isu yang kompleks dan tidak mudah diuruskan apatah lagi mencari kesalahan mana-mana pihak.

"Oleh sebab kerajaan Persekutuan juga menyatakan komitmen mereka untuk memerangi jenayah, beta berharap kerajaan beta sedia memberikan kerjasama sewajarnya.

"Beta mengucapkan terima kasih kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia Selangor atas segala usaha yang dilaksanakan bagi melindungi keselamatan rakyat di negeri ini," titah baginda.

Baginda bertitah kepesatan pembangunan di Selangor terhasil daripada kejayaan rakyat mengekalkan keharmonian antara kaum dan ini tidak mungkin berlaku tanpa kerjasama semua pihak dan baginda berkenan supaya keharmonian masyarakat majmuk di Selangor menjadi model nasional.

"Beta percaya kita semua boleh memberi komitmen bahawa segala perbezaan antara kita merupakan suatu aset dan bukan punca perbalahan. Buangkanlah segala prejudis yang ada kerana apa juga cabaran yang bakal dihadapi tidak pernah mengenal warna dan keturunan," titah baginda.

Justeru, media massa perlu memainkan peranan dalam membina masyarakat dengan memberikan laporan yang tepat dan berkualiti kepada rakyat kerana mereka memerlukan sumber maklumat yang tepat, berobjektif di samping mendidik dan membina pemikiran, titah baginda.



-- BERNAMA

Malaysia Mahu Tarik Lebih Ramai Pelajar Indonesia

MEDAN, 13 April (Bernama) -- Malaysia akan meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelajar Indonesia menyambung pengajian di institusi pendidikan tingginya (IPT).

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata pada masa ini republik itu berada di tempat ketiga selepas China dan negara-negara Timur Tengah dengan 14,000 pelajar yang mengikuti pengajian pelbagai bidang di IPT Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).

Sasaran adalah pelajar Indonesia yang tamat Sekolah Menengah Atas (SMA) yang berjumlah antara empat dan lima juta orang setahun, katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Beliau yang ditemui selepas perasmian Pameran Pendidikan Malaysia berkata langkah itu juga selaras dengan matlamat negara yang mahu menambah bilangan pelajara asing di Malaysia daripada 70,000 sekarang kepada 100,000.

Syed Munshe Afdzaruddin berkata sewajarnya juga pelajar Indonesia di Malaysia lebih ramai berbanding negara-negara lain memandangkan kedua-dua negara itu adalah tetangga dekat selain mempunyai persamaan budaya, bahasa dan cara hidup.

Pada masa ini pelajar asing di Malaysia datang daripada kira-kira 150 negara.

Terdahulu semasa berucap, Duta Besar itu berkata Malaysia harus menjadi destinasi utama rakyat Indonesia melanjutkan pelajaran kerana kerajaan Malaysia memastikan kualiti pendidikan yang ditawarkan adalah yang terbaik dan mendapat pengiktirafan seluruh dunia.

Selain itu kedudukan Malaysia yang dekat dengan Indonesia pula menjadikan pengangkutan lebih mudah dan murah, katanya.

Kadar yuran pengajian juga adalah kompetitif berbanding yuran di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Australia dan Jepun serta kadar tukaran wang yang tidak terlalu tinggi pula membantu pelajar dari segi kos.

"Kerajaan Malaysia juga mengharapkan pelajar-pelajar Indonesia yang sedang menuntut di Malaysia dan pelajar-pelajar yang sudah tamat belajar menjadi jambatan penghubung antara kedua-dua negara ini dan membantu menerangkan kenangan manis mereka semasa belajar di Malaysia.

"Mereka adalah bukti nyata bahawa belajar di Malaysia sungguh menyenangkan dan menyingkirkan apa-apa perasaan yang membimbangkan ibu bapa mereka di Indonesia," katanya.

Syed Munshe Afdzaruddin berkata pada masa yang sama Malaysia juga berhasrat untuk menambahkan bilangan pelajarnya di IPTA dan IPTS Indonesia.

Penambahan yang dicadangkan itu adalah bagi peringkat ijazah sarjana dan ke atas, khususnya dalam bidang-bidang baharu seperti undang-undang yang berasaskan undang-undang Belanda kerana berbeza dengan undang-undang berasaskan British di Malaysia.

Kini terdapat kira-kira 6,000 pelajar Malaysia di seluruh Indonesia yang kebanyakannya menuntut dalam jurusan perubatan.

Daripada jumlah itu, seramai 1,100 belajar di Medan.

-- BERNAMA

Yayasan 1Malaysia Sambut Baik Penubuhan Jawatankuasa Kerja Antara Agama

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Yayasan 1Malaysia berkata penubuhan Jawatankuasa Kerja Antara Agama merupakan langkah baik dan ia amat bermakna kerana institusi Islam dan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) mempunyai wakil masing-masing dalam jawatankuasa itu.

Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar berkata walaupun kedudukan dan struktur jawatankuasa serta keanggotaannya berbeza dengan apa yang dicadangkan Yayasan 1Malaysia awal tahun ini, "adalah menjadi harapan ia akan dapat menyelesaikan kontroversi berkaitan isu agama yang menjadi cabaran negara kebelakangan ini".

Beliau berkata jawatankuasa itu, yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, bukan sahaja hanya menyediakan penyelesaian konkrit isu-isu yang menghimpit masyarakat pelbagai agama tetapi juga mengubah corak pemikiran segmen masyarakat utama negara ini tentang bagaimana mereka memahami dan mengamalkan kepercayaan masing-masing.

"Ini merupakan tugas yang perlu ditangani jawatankuasa dengan sokongan dan kerjasama pelbagai kumpulan dalam masyarakat yang turut komited kepada transformasi tingkah laku berpengaruh terhadap agama di Malaysia hari ini," katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Dr Chandra berkata jawatankuasa itu perlu mengkaji undang-undang dan dasar-dasar di negara-negara penduduknya beragama Islam yang turut berhadapan dengan cabaran-cabaran serupa dalam hubungan mereka dengan kaum-kaum minoriti bukan Islam.

"Pengalaman-pengalaman dalam masyarakat lain mungkin dapat membantu kita untuk memahami keadaan sendiri dengan lebih baik ketika kita mencari kaedah dan jalan penyelesaian dalam situasi yang dihadapi," katanya.

Dr Chandra juga berpendapat jawatankuasa perlu mengadakan perbincangan dengan kumpulan-kumpulan dan para individu yang mempunyai pengetahuan dan pemahaman mengenai isu-isu yang ditangani jawatankuasa.

"Jawatankuasa ini mungkin mahu bertemu dengan tokoh-tokoh Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS), yang banyak melakukan penyelidikan berhubung isu-isu perundangan Islam dalam dunia kontemporari dan hubungan antara agama," kata beliau.

Dr Chandra turut mencadangkan jawatankuasa agar melihat semula draf laporan yang disediakan sebuah jawatankuasa di bawah Peguam Negara, yang meliputi badan-badan Islam, wakil-wakil pelbagai agama, badan-badan bukan kerajaan (NGOs) yang berbincang sejak 2005 hingga 2007.

Jawatankuasa itu membincangkan isu-isu mengenai pertukaran dan penjagaan anak-anak, hak pasangan apabila seorang daripada pasangan memeluk agama lain, status seseorang yang pegangan agamanya dipertikaikan dan beberapa perkara berkaitan.

Dr Chandra berkata walaupun laporan itu tidak mendapat persetujuan daripada seluruh anggota jawatankuasa, banyak penyelesaian yang dicadangkan adalah seimbang, rasional dan inklusif.

"Jika mereka boleh melihat semula dengan fikiran terbuka, Jawatankuasa Kerja Antara Agama akan dapat memudahkan tanggungjawabnya," kata Dr Chandra.



-- BERNAMA