05 April 2010

Suntikan vaksin percuma kurang dapat sambutan: Liow

KUALA LUMPUR: Sikap suka tunggu dan lihat terutama di kalangan kumpulan berisiko terhadap jangkitan Influenza A (H1N1) iaitu pesakit kronik, obesiti dan wanita hamil untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mencegah penyakit berkenaan, boleh meningkatkan risiko penularan wabak yang lebih serius.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata walaupun suntikan vaksin diberi secara percuma di 104 pusat kesihatan di seluruh negara, masih ada yang tidak mengendahkannya dan menganggap tidak penting bagi mereka untuk mendapatkan suntikan berkenaan.

Katanya, kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa jika ada pihak yang memandang ringan mengenai perkara itu kerana ia bergantung kepada kerelaan mereka untuk berbuat demikian

Kita hanya boleh menasihatkan orang ramai terutama dalam kelompok kumpulan berisiko supaya mendapatkan vaksin dengan segera kerana ia boleh membantu mencegah penularan wabak yang lebih serius,Selain itu orang ramai perlu berhati-hati dan lebih bertanggungjawab terhadap orang lain dengan mengasingkan diri atau memakai topeng jika menghidap selsema, batuk atau demam terutama apabila berada di khalayak ramai, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Liow dalam kenyataannya dilaporkan berkata, dua kes kematian yang dikaitkan dengan jangkitan H1N1 di Hospital Melaka pada 31 Mac dan 2 April lalu membabitkan dua anak beranak masing-masing wanita berumur 54 tahun yang juga pesakit diabetes dan anaknya berusia 29 tahun yang hamil 32 minggu.

Liow berkata, sehingga petang semalam, dua kes kluster kecil iaitu di Gua Musang, Kelantan dan Melaka Tengah dikesan mengalami gejala seakan selsema (ILI).
Beliau berkata, kes di Gua Musang membabitkan empat pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), manakala di Melaka Tengah membabitkan dua sekeluarga.

Kita sudah mengambil sampel dan keputusan akan diketahui dalam masa sehari dua lagi, katanya.

Katanya, setakat ini tiada peningkatan H1N1 secara mendadak dan keadaan masih terkawal walaupun ada kes setiap hari dirujuk ke pusat kesihatan.

No comments:

Post a Comment