14 April 2010

Mufti Johor sokong Perak

JOHOR BAHRU 13 April – Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsuddin menyokong keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang membantah penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama. Katanya, secara peribadi beliau cenderung untuk menyokong keputusan Perak tersebut kerana alasan dan hujah yang dikemukakan adalah tepat dan wajar.

“Sebagai orang Islam kita mesti berasa bimbang dengan status agama kita pada masa depan apabila Islam boleh dibincangkan di peringkat pelbagai agama dan dibimbangi akan wujud pelbagai tuntutan di kalangan penganut agama lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun Tahrir menegaskan Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor belum membuat sebarang keputusan.

Di Ipoh, Gagasan Melayu Perak (GMP) turut menyokong langkah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak membantah penubuhan jawatankuasa itu.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan taktik halus pihak tertentu meminggirkan Islam sebagai agama rasmi serta membelakangkan Majlis Raja -Raja.

Sementara itu di Pulau Pinang, Jawatankuasa Fatwa negeri akan mendapatkan pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum membuat pendirian.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad berkata, beliau akan menghadiri mesyuarat khas bersama Jakim di Putrajaya esok.

Menurutnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri negeri hanya akan bermesyuarat pada 30 April ini.

No comments:

Post a Comment