14 April 2010

Tubuh pusat seni kanak-kanak lepas sekolah dikaji


ROSMAH Mansor beramah mesra dengan pelajar Sitar Arts Centre ketika melawat pusat seni itu di Washington, kelmarin.


WASHINGTON 13 April – Datin Seri Rosmah Mansor menyuarakan minat untuk menubuhkan sebuah pusat yang menyediakan pendidikan seni dalam pelbagai disiplin untuk kanak-kanak dan remaja daripada kumpulan berpendapatan rendah di kawasan berisiko tinggi ke arah mewujudkan persekitaran yang selamat untuk mereka selepas waktu sekolah.

Rosmah yang juga Presiden Badan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dan Pengerusi Permata berkata, bagaimanapun, beliau perlu membincangkan perkara itu dengan kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan mengenai kaedah pelaksanaan pusat berkenaan.

Pusat seperti ini mampu mengurangkan masalah sosial di kalangan kanak-kanak dan remaja yang sering ditinggalkan oleh ibu-bapa mereka yang bekerja, kata isteri Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia selepas melawat Sitar Arts Centre di sini, Isnin lepas.

Lawatan itu turut disertai lebih 20 anggota Bakti, termasuk isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datin Seri Masnah Rais, isteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah, dan isteri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datin Seri Shuryani Shuaib.

Organisasi bukan berasaskan keuntungan itu ditubuhkan pada 1996 oleh Rhonda Buckley dan beroperasi sepenuhnya pada 2000, bagi menyediakan peluang kepada kanak-kanak dan remaja dalam kawasan kejiranan Adams Morgan mengasah bakat mereka dalam seni visual dan persembahan.

Tahun lepas, pusat berkenaan diberikan Anugerah Coming Up Taller oleh Wanita Pertama Amerika Syarikat Michelle Obama daripada Jawatankuasa Presiden mengenai Seni dan Kemanusiaan, yang mengiktiraf pusat itu sebagai organisasi seni dan kemanusiaan terulung di negara ini yang menawarkan khidmat kepada kalangan remaja selepas waktu sekolah.

Rosmah berkata, pusat berkenaan yang menawarkan pelbagai kursus dalam bidang seni, termasuk muzik, lukisan dan tarian, serta membenarkan mereka mengambil bidang seni yang diminati, membantu kanak-kanak dan remaja menggunakan masa yang terluang selepas sekolah dengan baik.

Katanya, ia juga mengelakkan mereka daripada mengunjungi tempat yang tidak sepatutnya dan terlibat dalam aktiviti yang tidak diingini.

"Apabila ada tempat untuk kanak-kanak dan remaja melakukan sesuatu yang mereka sukai, seperti muzik, kelas jahitan dan nyanyian, mereka akan suka duduk di situ dan ini adalah satu perkara yang baik,” jelasnya. – Bernama

No comments:

Post a Comment