06 April 2010

Pelaksanaan PTE diumum dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (PTE) dalam masa terdekat dengan menjadikan sektor awam dan swasta sebagai ‘kenderaan’ utama memacu ekonomi negara ke tahap lebih memberangsangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata fasa pertama membabitkan kerjasama rakyat dan golongan perniagaan serta pelabur, bagi memastikan setiap peringkat masyarakat mendapat peluang memberikan input dalam proses membuat dasar.

“Era bahawa kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir... jadi kita mahu mendapatkan input dan pandangan semua pihak terutama rakyat sebagai pemegang saham utama. Bagi fasa kedua, adalah tempoh perundingan dengan semua butiran dirangka bagi membentuk pelan induk dan peta perjalanan bagaimana Model Ekonomi Baru (MEB) dapat dilaksanakan.

“Kita akan berkongsi butiran lanjut mengenai PTE dalam masa terdekat, tapi saya bangga untuk memperkatakannya bahawa prosesnya sudah bermula,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Persidangan Kepimpinan Asean Axiata ke-7, di sini semalam.

Forum bertemakan Transformasi Asean: Menuju Ke Hadapan itu dianjurkan oleh Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli).

Pada majlis itu, Najib menerima Anugerah Kepimpinan Transformasi yang kali pertama diberikan kepada pemimpin Asean sebagai menghargai jasa serta sumbangan Perdana Menteri membawa perubahan dan pembaharuan kepada negara dan masyarakat yang beliau terajui.

Anugerah yang disampaikan Pengerusi Asli, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah itu dianjurkan oleh Asli dengan kerjasama Forum Perniagaan Asean dan majalah Aseanaffair. Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew pernah menerima Anugerah Pencapaian Milenium Asean pada 2001.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Keo Puth Reasmey; Penasihat Presiden Filipina, Annabella Abaya; Ketua Pegawai Eksekutif Asli, Datuk Michael Yeoh; dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Berhad, Datuk Seri Jamaluddin Ibrahim.

Najib berkata, transformasi ekonomi bukan perkara mudah, tetapi yakin Malaysia bersedia untuk perubahan itu yang akan memberi manfaat besar kepada setiap lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan kedudukan sosial.

No comments:

Post a Comment