05 April 2010

Ali Rustam saran swasta labur MEB

KUALA LUMPUR: Bagi menjayakan dasar Model Ekonomi Baru (MEB), sektor swasta disaran melabur di dalam negara sendiri demi menjana ekonomi negara ke arah yang lebih baik sekali gus dapat membela nasib rakyat.

Saranan itu dikemukakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam kerana banyak sektor swasta yang tidak mahu melabur malah lebih rela menyimpan kekayaan yang dimiliki.

Beliau berkata, tanggungjawab membela nasib rakyat bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata namun ia juga mesti mendapat kerjasama agensi lain khususnya swasta.

Orang kaya di Malaysia lebih gemar menyimpan kekayaan mereka di bank berbanding membuat pelaburan bagi memberi faedah kepada rakyat dan juga negara.

Sikap itu menunjukkan yang mereka hanya bersemangat untuk membela diri sendiri berbanding semangat bela negara. Mereka tidak kisah apa hendak jadi dengan orang lain asal diri sendiri dan keluarga senang, katanya selepas merasmikan Program Juara Rakyat bertemakan Bulan Agensi Kerajaan yang dianjurkan Umno Bahagian Segambut di sini, semalam.

Mohd Ali yang juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata penyertaan sektor swasta dalam pelaburan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat sekali gus mampu memajukan negara.

Program itu bertujuan mendekatkan masyarakat dengan Agensi Kerajaan dan memberi peluang kepada orang ramai mengenali fungsi kerajaan serta agensi di bawahnya dengan lebih dekat.
Melalui program terbabit sebanyak 18 agensi mengambil bahagian antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN); Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK); Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama); Cybersecurity; Bomba dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

No comments:

Post a Comment