05 April 2010

Boleh naik gaji kalau.........????

KUALA LUMPUR: Gaji kakitangan awam boleh dinaikkan dengan syarat 1.2 juta penjawat awam meningkatkan produktiviti dan menyokong inisiatif kerajaan untuk Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Beliau berkata, selagi produktiviti meningkat, gaji mereka akan diselaraskan seiring dengan ekonomi yang lebih kukuh.


“Gaji mereka akan diselaraskan mengikut perkembangan. Apa yang penting ialah dengan pengukuhan ekonomi, perolehan kerajaan juga meningkat,” kata beliau dalam program ‘Setahun di Aras 5: Temubual Khas Bersama Perdana Menteri’ yang disiarkan Bernama TV.


Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut menegaskan mengenai kepentingan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai satu daripada cara meningkatkan hasil kerajaan.

“Itulah sebabnya GST amat penting. Rakyat mahukan gaji yang lebih tinggi, tetapi tidak mahu menyokong GST. Saya memerlukan sokongan 1.2 juta penjawat awam. Sekiranya anda mahu dibayar gaji yang lebih baik di masa depan, saya perlu mengukuhkan asas perolehan kerajaan kerana kalau tidak, dari mana saya akan dapat wang untuk membayar penjawat awam?” katanya.


Beliau berkata dengan mendapat sokongan daripada semua penjawat awam, akan membolehkan kerajaan melakukan yang lebih baik untuk semua rakyat.


Mengenai bagaimana beliau merancang untuk menyelaras objektif Model Ekonomi Baru (MEB) bagi mencapai ekonomi nilai tinggi dan memastikan kos rendah, Najib berkata, dengan MEB, ia boleh mewujudkan Malaysia sebagai ekonomi yang inovatif, dipacu oleh kebijaksanaan dan bakat yang baik.

Mengenai saranan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) supaya Bumiputera memiliki 67 peratus daripada kekayaan ekonomi negara, Perdana Menteri berkata, kedudukan Bumiputera yang masih tidak mencapai taraf yang sepatutnya bermakna kerajaan harus meneruskan tindakan afirmatif, tetapi pada masa yang sama memperbetulkan kelemahan yang jelas kelihatan dalam pelaksanaan sebelumnya.

“Jadi apa yang ingin saya katakan ialah, kita tidak sepatutnya terlalu taksub dengan satu pandangan, tetapi biarlah kita melihat dengan cara yang akan memberikan perasaan bersatu sebagai satu negara dan satu masyarakat,” katanya.

Mengenai keraguan terhadap tender terbuka dan sama ada ia benar-benar telus, Najib berkata melalui inisiatif baru, ia akan telus memandangkan orang ramai akan dapat melihat syarikat mana yang gagal dan yang mana akan mendapat bida itu serta harga bidaan yang ditawarkan syarikat terbabit.

“Jadi, rakyat boleh mengkritik kerajaan jika mereka merasakan proses itu tidak adil,” kata Najib, yang genap setahun menjadi Perdana Menteri pada 3 April. - Bernama

1 comment:

  1. woi korang keje la kuat2, kesian kat aku. aku teringin nak naik gaji. ni aku sorang je keje kuat2. korang keje main2...

    ReplyDelete