14 April 2010

JKR Ditegur, Laluan Gua Musang-Kuala Krai Banyak Kerosakan

GUA MUSANG, 11 April (Bernama) -- Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Solah Mat Hassan meminta Jabatan Kerja Raya agar melakukan kerja-kerja pembaikan di laluan Gua Musang-Kuala Krai yang pada tahun ini sahaja telah mengorbankan 18 orang.

Ini kerana katanya, jalan itu didapati mengalami pelbagai kerosakan yang mungkin menyebabkan lebih banyak kemalangan maut berlaku.

"Saya sendiri yang memantau sepanjang jalan itu dan mendapati memang banyak berlaku kerosakan dan papan isyarat juga kurang serta ada juga garisan putih di tengah jalan yang telah pudar," katanya kepada pemberita, di sini Ahad.

Solah berkata beliau difahamkan perkara itu telah lama berlaku namun tidak ada tindakan menambahbaik dibuat oleh pihak bertanggungjawab.

Beliau bagaimanapun tidak menolak faktor kecuaian manusia juga menyumbang kepada kemalangan di kawasan itu.

Bimbang dengan statistik kemalangan maut di kawasan berkenaan, Solah berkata JPJ akan mengadakan rondaan 24 jam di sepanjang jalan terbabit.

"Selain itu, kita juga memasang kamera yang dikenali sistem penguatkuasaan automatik di 11 lokasi Jalan Gua Musang-Kuala Krai antaranya di KM 13.8, 22.2, 38 dan 63 yang kerap berlaku kemalangan maut dan jika pengguna melanggar peraturan termasuk memandu laju akan dicatatkan kelajuannya itu dikenakan tindakan," katanya.

Sejak 2008 hingga hari ini laluan itu telah mengorbankan 87 orang, iaitu 36 orang pada tahun 2008, 33 orang pada tahun lepas dan tahun ini 18 orang setakat ini.

-- BERNAMA

Usah Bimbang Peranan Dr Koh Dalam Jawatankuasa Antara Agama - Muhyiddin

RAWANG, 12 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata orang ramai tidak perlu bimbang berhubung peranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang bertanggungjawab terhadap Jawatankuasa Antara Agama, kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan pertikaian berkaitan agama.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata jawatankuasa itu berperanan untuk memberi ruang dalam usaha mewujudkan persefahaman dan perpaduan di antara kaum dan agama di negara ini.

"Jawatankuasa ini dibuat dalam bentuk pentadbiran di bawah Jabatan Perdana Menteri, mungkin ada hasil-hasil perbincangan yang boleh digunakan sebagai panduan untuk tambah baik perhubungan antara kaum yang boleh kita ambil.

"Tetapi soal-soal tentang kedudukan agama Islam itu tidak akan disentuh, kedudukan dan martabatnya tidak akan disentuh, kita kena hormat antara agama dan wujudkan semangat kerjasama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan geran permulaan prasekolah swasta Kementerian Pelajaran di Bandar Sungai Buaya di sini pada Isnin.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) untuk menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bagi membantah Jawatankuasa Antara Agama untuk menyelesaikan pertikaian berkaitan agama diletakkan di bawah tanggungjawab Dr Koh kerana ia membabitkan soal agama Islam.

Mengulas pendapat Pengerusi Perkasa Datuk Ibrahim Ali bahawa pelantikan bekas Anggota Parlimen Kota Baharu Datuk Ilani Ishak sebagai pengerusi jawatankuasa itu juga tidak bertepatan, Muhyiddin berkata Ilani mempunyai pengalaman dan peluang harus diberikan untuk beliau menerajui jawatankuasa itu.

"Ilani ada pengalaman, kita bagi dia peluang, wakil-wakil dari Majlis Fatwa Kebangsaan pun ada, dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pun ada, saya tak fikir kita harus bimbang," katanya.

Pada 6 April lalu, kabinet bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Antara Agama yang dianggotai oleh wakil semua agama tanpa campur tangan mana-mana anggota politik bagi memupuk kefahaman antara penganut-penganut pelbagai agama di negara ini.

-- BERNAMA

Jangan Habiskan Masa Untuk Berpolitik Sahaja, Titah Sultan Selangor

SHAH ALAM, 12 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Isnin tidak mahu ahli-ahli politik negeri Selangor menghabiskan masa yang banyak dengan berpolitik sahaja tanpa mengira tempat dan masa.

"Di dalam Dewan ini, gunakanlah kesempatan yang terhad untuk membincangkan dasar-dasar yang baik dan janganlah berkelakuan yang tidak sepatutnya. Semua Ahli Dewan harus memberi contoh baik (mengenai) akal-budi kepada semua," titah baginda pada majlis perasmian pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor ke-12 di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin bertitah sebagai Ketua Negeri, baginda ingin melihat Selangor terus berkembang maju dan kerajaan dapat menjalankan amanah kepada rakyat dengan cekap dan lancar.

"Beta sedar dalam politik tidak mungkin ada 100 peratus persetujuan dan memang diakui bahawa sistem semak dan imbang diperlukan bagi memastikan semua kepentingan dapat diteliti," titah baginda yang ingin melihat semua pihak melaksanakan sistem yang ada atas landasan amanah dan bukan isu peribadi akibat perbezaan politik.

Baginda bertitah, Perlembagaan Negara memberikan hak kepada semua pihak dan sifat perlembagaan sebenarnya untuk melindungi rakyat sama ada daripada segi politik, ekonomi dan sosial.

"Justeru itu, fahamilah Perlembagaan Negara agar kita tidak berlebihan dalam usaha menuntut hak masing-masing," titah baginda.

Selaras dengan peruntukan Perlembagaan, baginda bertitah, penjawat awam wajib mengamalkan sikap neutral (berkecuali), profesional, prinsip kecemerlangan, etika yang unggul dan peka terhadap kerajaan yang memerintah serta mematuhi undang-undang negara.

"Prinsip profesional dan berkecuali di sini bererti ia bertugas untuk kerajaan semasa yang memerintah dan membuat keputusan adil tanpa mengira sentimen politik, agama dan kaum," titah baginda.

Selangor merupakan penyumbang utama kepada pendapatan negara dianggarkan sebanyak 21 peratus dan dalam hal ini kerajaan negeri dan persekutuan saling memerlukan, titah baginda.

"Beta berharap kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dipereratkan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Selangor yang beta kasihi ini," titah baginda.

Sultan Sharafuddin juga bertitah dasar liberalisasi ekonomi di peringkat Kerajaan Persekutuan harus disambut sebagai cabaran menempatkan perkhidmatan bermutu demi faedah rakyat Selangor kerana ia penting supaya negeri ini tidak ketinggalan ketika pelaburan luar masuk dengan banyaknya.

Justeru, Kerajaan Selangor harus memikirkan produk-produk pelancongan sama ada berbentuk alam sekitar yang asli atau lokasi buatan manusia, budaya-agama atau program-program berkala dengan tema-tema tertentu, titah baginda.

Baginda bertitah perkhidmatan pengangkutan awam dan khidmat pengguna yang berkesan amat diperlukan bagi menjayakan aspirasi ini yang akan memberi kesan positif untuk semua pihak sama ada negeri, penggerak industri perkhidmatan atau pelancongan.

Jentera Kerajaan Negeri juga perlu membuat anjakan paradigma untuk meningkatkan produktiviti kerja dan baginda menekankan Petunjuk Prestasi Utama(KPI) dapat dikemas kini dan dipantau dengan rapi.

Sultan Sharafuddin juga bertitah bahawa baginda juga prihatin terhadap perkembangan jenayah di Selangor dan faham bahawa hal jenayah merupakan isu yang kompleks dan tidak mudah diuruskan apatah lagi mencari kesalahan mana-mana pihak.

"Oleh sebab kerajaan Persekutuan juga menyatakan komitmen mereka untuk memerangi jenayah, beta berharap kerajaan beta sedia memberikan kerjasama sewajarnya.

"Beta mengucapkan terima kasih kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia Selangor atas segala usaha yang dilaksanakan bagi melindungi keselamatan rakyat di negeri ini," titah baginda.

Baginda bertitah kepesatan pembangunan di Selangor terhasil daripada kejayaan rakyat mengekalkan keharmonian antara kaum dan ini tidak mungkin berlaku tanpa kerjasama semua pihak dan baginda berkenan supaya keharmonian masyarakat majmuk di Selangor menjadi model nasional.

"Beta percaya kita semua boleh memberi komitmen bahawa segala perbezaan antara kita merupakan suatu aset dan bukan punca perbalahan. Buangkanlah segala prejudis yang ada kerana apa juga cabaran yang bakal dihadapi tidak pernah mengenal warna dan keturunan," titah baginda.

Justeru, media massa perlu memainkan peranan dalam membina masyarakat dengan memberikan laporan yang tepat dan berkualiti kepada rakyat kerana mereka memerlukan sumber maklumat yang tepat, berobjektif di samping mendidik dan membina pemikiran, titah baginda.



-- BERNAMA

Malaysia Mahu Tarik Lebih Ramai Pelajar Indonesia

MEDAN, 13 April (Bernama) -- Malaysia akan meningkatkan usaha untuk menarik lebih ramai pelajar Indonesia menyambung pengajian di institusi pendidikan tingginya (IPT).

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata pada masa ini republik itu berada di tempat ketiga selepas China dan negara-negara Timur Tengah dengan 14,000 pelajar yang mengikuti pengajian pelbagai bidang di IPT Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS).

Sasaran adalah pelajar Indonesia yang tamat Sekolah Menengah Atas (SMA) yang berjumlah antara empat dan lima juta orang setahun, katanya kepada pemberita, di sini Selasa.

Beliau yang ditemui selepas perasmian Pameran Pendidikan Malaysia berkata langkah itu juga selaras dengan matlamat negara yang mahu menambah bilangan pelajara asing di Malaysia daripada 70,000 sekarang kepada 100,000.

Syed Munshe Afdzaruddin berkata sewajarnya juga pelajar Indonesia di Malaysia lebih ramai berbanding negara-negara lain memandangkan kedua-dua negara itu adalah tetangga dekat selain mempunyai persamaan budaya, bahasa dan cara hidup.

Pada masa ini pelajar asing di Malaysia datang daripada kira-kira 150 negara.

Terdahulu semasa berucap, Duta Besar itu berkata Malaysia harus menjadi destinasi utama rakyat Indonesia melanjutkan pelajaran kerana kerajaan Malaysia memastikan kualiti pendidikan yang ditawarkan adalah yang terbaik dan mendapat pengiktirafan seluruh dunia.

Selain itu kedudukan Malaysia yang dekat dengan Indonesia pula menjadikan pengangkutan lebih mudah dan murah, katanya.

Kadar yuran pengajian juga adalah kompetitif berbanding yuran di negara-negara seperti Amerika Syarikat, Britain, Australia dan Jepun serta kadar tukaran wang yang tidak terlalu tinggi pula membantu pelajar dari segi kos.

"Kerajaan Malaysia juga mengharapkan pelajar-pelajar Indonesia yang sedang menuntut di Malaysia dan pelajar-pelajar yang sudah tamat belajar menjadi jambatan penghubung antara kedua-dua negara ini dan membantu menerangkan kenangan manis mereka semasa belajar di Malaysia.

"Mereka adalah bukti nyata bahawa belajar di Malaysia sungguh menyenangkan dan menyingkirkan apa-apa perasaan yang membimbangkan ibu bapa mereka di Indonesia," katanya.

Syed Munshe Afdzaruddin berkata pada masa yang sama Malaysia juga berhasrat untuk menambahkan bilangan pelajarnya di IPTA dan IPTS Indonesia.

Penambahan yang dicadangkan itu adalah bagi peringkat ijazah sarjana dan ke atas, khususnya dalam bidang-bidang baharu seperti undang-undang yang berasaskan undang-undang Belanda kerana berbeza dengan undang-undang berasaskan British di Malaysia.

Kini terdapat kira-kira 6,000 pelajar Malaysia di seluruh Indonesia yang kebanyakannya menuntut dalam jurusan perubatan.

Daripada jumlah itu, seramai 1,100 belajar di Medan.

-- BERNAMA

Yayasan 1Malaysia Sambut Baik Penubuhan Jawatankuasa Kerja Antara Agama

KUALA LUMPUR, 13 April (Bernama) -- Yayasan 1Malaysia berkata penubuhan Jawatankuasa Kerja Antara Agama merupakan langkah baik dan ia amat bermakna kerana institusi Islam dan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) mempunyai wakil masing-masing dalam jawatankuasa itu.

Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar berkata walaupun kedudukan dan struktur jawatankuasa serta keanggotaannya berbeza dengan apa yang dicadangkan Yayasan 1Malaysia awal tahun ini, "adalah menjadi harapan ia akan dapat menyelesaikan kontroversi berkaitan isu agama yang menjadi cabaran negara kebelakangan ini".

Beliau berkata jawatankuasa itu, yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, bukan sahaja hanya menyediakan penyelesaian konkrit isu-isu yang menghimpit masyarakat pelbagai agama tetapi juga mengubah corak pemikiran segmen masyarakat utama negara ini tentang bagaimana mereka memahami dan mengamalkan kepercayaan masing-masing.

"Ini merupakan tugas yang perlu ditangani jawatankuasa dengan sokongan dan kerjasama pelbagai kumpulan dalam masyarakat yang turut komited kepada transformasi tingkah laku berpengaruh terhadap agama di Malaysia hari ini," katanya dalam satu kenyataan Selasa.

Dr Chandra berkata jawatankuasa itu perlu mengkaji undang-undang dan dasar-dasar di negara-negara penduduknya beragama Islam yang turut berhadapan dengan cabaran-cabaran serupa dalam hubungan mereka dengan kaum-kaum minoriti bukan Islam.

"Pengalaman-pengalaman dalam masyarakat lain mungkin dapat membantu kita untuk memahami keadaan sendiri dengan lebih baik ketika kita mencari kaedah dan jalan penyelesaian dalam situasi yang dihadapi," katanya.

Dr Chandra juga berpendapat jawatankuasa perlu mengadakan perbincangan dengan kumpulan-kumpulan dan para individu yang mempunyai pengetahuan dan pemahaman mengenai isu-isu yang ditangani jawatankuasa.

"Jawatankuasa ini mungkin mahu bertemu dengan tokoh-tokoh Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam (IAIS), yang banyak melakukan penyelidikan berhubung isu-isu perundangan Islam dalam dunia kontemporari dan hubungan antara agama," kata beliau.

Dr Chandra turut mencadangkan jawatankuasa agar melihat semula draf laporan yang disediakan sebuah jawatankuasa di bawah Peguam Negara, yang meliputi badan-badan Islam, wakil-wakil pelbagai agama, badan-badan bukan kerajaan (NGOs) yang berbincang sejak 2005 hingga 2007.

Jawatankuasa itu membincangkan isu-isu mengenai pertukaran dan penjagaan anak-anak, hak pasangan apabila seorang daripada pasangan memeluk agama lain, status seseorang yang pegangan agamanya dipertikaikan dan beberapa perkara berkaitan.

Dr Chandra berkata walaupun laporan itu tidak mendapat persetujuan daripada seluruh anggota jawatankuasa, banyak penyelesaian yang dicadangkan adalah seimbang, rasional dan inklusif.

"Jika mereka boleh melihat semula dengan fikiran terbuka, Jawatankuasa Kerja Antara Agama akan dapat memudahkan tanggungjawabnya," kata Dr Chandra.



-- BERNAMA

Najib Harap Tahun Baru Penganut Hindu Dan Hari Vesakhi Masyarakat Sikh Disambut Dengan Semangat 1Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengucapkan selamat menyambut tahun baru kepada penganut Hindu dan selamat hari Vesakhi kepada masyarakat Sikh.

Najib, yang kini berada di Washington untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear, meluangkan masanya untuk menulis ucapannya itu dalam blognya www.1Malaysia.com.my.

Beliau berkata bahawa dalam masa dua hari ini penganut Hindu akan menyambut tahun baru mereka.

"Hari istimewa ini dikenali dengan pelbagai nama; kepada kaum Tamil ianya dikenali Puthandu, dan kali ini tahun ini dikenali sebagai Vikruthi, manakala kepada kaum Malayalee, ia dikenali sebagai Vishu.

"Masyarakat Sikh pula menyambut Vesakhi pada 14 Apri1 sempena kelahiran Khalsa - peristiwa paling penting bagi masyarakat Sikh di seluruh dunia," kata Najib.

Perdana Menteri berharap penganut Hindu dan masyarakat Sikh akan menyambut hari yang mulia itu bersama anggota keluarga dan sahabat handai.

"Seperti amalan kita di Malaysia, perayaan seperti ini membolehkan kita lebih mengenali dan memahami antara sama sama lain. Lebih dalam pengertian kita terhadap satu sama lain, bertambah mendalamlah penghargaan kita kepada kekayaan dan kekuatan budaya kita.

"Walaupun terdapat kepelbagaian ini, nilai bersama yang kita miliki dapat menyatukan kita. Dalam semangat 1Malaysia, marilah kita gunakan peluang ini untuk sama-sama menyambut hari-hari yang istimewa ini," kata Najib.

-- BERNAMA

Israel pemilik simpanan nuklear keenam terbesar

BAITULMAQDIS - Beberapa pakar percaya Israel berada dalam senarai negara pemilik simpanan nuklear terbesar dunia selepas AS, Rusia, Britain, Perancis dan China.

Namun, Tel Aviv secara konsisten tidak membuat sebarang pengakuan ataupun penafian mengenai program nuklear yang dibangunkan.

Kebanyakan maklumat berhubung program nuklear Israel diperoleh berdasarkan laporan berita dan sumber asing.

Pada 1985, bekas juruteknik di loji Dimona, Israel, Mordechai Vanunu mendedahkan beberapa foto dan data sulit mengenai kemudahan nuklear negara itu.

Semua data dan foto itu kemudian disiarkan akhbar London Sunday Times.:

Data menunjukkan Israel membangunkan program nuklear sofistikated membabitkan lebih 200 bom neutron.:

Semua bom-bom tersebut mampu dilancarkan bersama peluru berpandu jarak sederhana, dibawa pesawat pejuang F16 atau kapal selam misil.

Bukti foto pula mendedahkan beberapa rekaan terperinci, di mana pakar-pakar saintifik mendakwa Israel berupaya menghasilkan bom hanya dengan menggunakan bahan plutonium sebanyak empat kilogram.

Pakar dasar nuklear, Prof Yair Evron menganggap sikap berahsia Israel mengenai kewujudan program nuklear tidak ubah sebagai cereka diplomatik.

"Ini kerana kebanyakan komuniti dunia percaya bahawa Israel memiliki keupayaan senjata nuklear," katanya.

Kenyataan bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert semasa melawat Jerman pada Disember 2006 mendedahkan status pemilikan nuklear negara Yahudi itu.

"Bolehkah anda berkata (keupayaan nuklear) Iran berada pada tahap sama apabila mereka bercita-cita memiliki senjata nuklear seperti Amerika Syarikat (AS), Perancis, Israel dan Rusia," katanya.

Tubuh pusat seni kanak-kanak lepas sekolah dikaji


ROSMAH Mansor beramah mesra dengan pelajar Sitar Arts Centre ketika melawat pusat seni itu di Washington, kelmarin.


WASHINGTON 13 April – Datin Seri Rosmah Mansor menyuarakan minat untuk menubuhkan sebuah pusat yang menyediakan pendidikan seni dalam pelbagai disiplin untuk kanak-kanak dan remaja daripada kumpulan berpendapatan rendah di kawasan berisiko tinggi ke arah mewujudkan persekitaran yang selamat untuk mereka selepas waktu sekolah.

Rosmah yang juga Presiden Badan Kebajikan Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dan Pengerusi Permata berkata, bagaimanapun, beliau perlu membincangkan perkara itu dengan kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan mengenai kaedah pelaksanaan pusat berkenaan.

Pusat seperti ini mampu mengurangkan masalah sosial di kalangan kanak-kanak dan remaja yang sering ditinggalkan oleh ibu-bapa mereka yang bekerja, kata isteri Perdana Menteri kepada pemberita Malaysia selepas melawat Sitar Arts Centre di sini, Isnin lepas.

Lawatan itu turut disertai lebih 20 anggota Bakti, termasuk isteri Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datin Seri Masnah Rais, isteri Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah, dan isteri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datin Seri Shuryani Shuaib.

Organisasi bukan berasaskan keuntungan itu ditubuhkan pada 1996 oleh Rhonda Buckley dan beroperasi sepenuhnya pada 2000, bagi menyediakan peluang kepada kanak-kanak dan remaja dalam kawasan kejiranan Adams Morgan mengasah bakat mereka dalam seni visual dan persembahan.

Tahun lepas, pusat berkenaan diberikan Anugerah Coming Up Taller oleh Wanita Pertama Amerika Syarikat Michelle Obama daripada Jawatankuasa Presiden mengenai Seni dan Kemanusiaan, yang mengiktiraf pusat itu sebagai organisasi seni dan kemanusiaan terulung di negara ini yang menawarkan khidmat kepada kalangan remaja selepas waktu sekolah.

Rosmah berkata, pusat berkenaan yang menawarkan pelbagai kursus dalam bidang seni, termasuk muzik, lukisan dan tarian, serta membenarkan mereka mengambil bidang seni yang diminati, membantu kanak-kanak dan remaja menggunakan masa yang terluang selepas sekolah dengan baik.

Katanya, ia juga mengelakkan mereka daripada mengunjungi tempat yang tidak sepatutnya dan terlibat dalam aktiviti yang tidak diingini.

"Apabila ada tempat untuk kanak-kanak dan remaja melakukan sesuatu yang mereka sukai, seperti muzik, kelas jahitan dan nyanyian, mereka akan suka duduk di situ dan ini adalah satu perkara yang baik,” jelasnya. – Bernama

1Malaysia satukan semua kaum

KUALA LUMPUR 13 April - Gagasan 1Malaysia tidak boleh disamakan dengan mana-mana gagasan lain, termasuklah One Israel seperti yang didakwa pihak tertentu baru-baru ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, gagasan 1Malaysia adalah untuk menyatukan masyarakat majmuk di negara ini yang diikat dengan perlembagaan Malaysia.

"Semua rakyat adalah sama dan mereka diikat di bawah perlembagaan negara, itu sudah cukup untuk menggambarkan 1Malaysia. Jika bukan rakyat Malaysia, mereka tidak terikat kepada perlembagaan.

"Tidak perlu ada suara sumbang atau mereka yang 'tidak sayang mulut' membangkitkan bermacam perkara mengenai gagasan ini semata-mata untuk bergaduh dan berbalah sesama kita rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis penyampaian sumbangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MAIWP) untuk mangsa ribut di Kampung Malaysia Tambahan di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, 27 pemilik rumah terbabit masing-masing menerima sumbangan wang tunai RM1,000 dan barang keperluan asas berjumlah RM200 dari MAIWP selepas rumah mereka rosak teruk dilanda ribut pada petang Ahad lalu.

Beberapa pemilik rumah di Pantai Dalam dan Salak Selatan yang turut dilanda ribut juga bakal menerima bantuan MAIWP selepas jumlah mangsa terlibat dapat dikenalpasti.

Mufti bincang isu antara agama hari ini

KUALA LUMPUR 13 April – Bantahan yang timbul terhadap pembentukan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama yang diumumkan kerajaan sebelum ini akan dibincangkan bersama semua mufti negeri esok.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin berkata, satu muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan yang secara kebetulan dijadualkan esok akan digunakan sebagai platform untuk membincangkan persoalan yang timbul mengenai jawatankuasa khas berkenaan.

“Muzakarah ini bukan diadakan khusus untuk isu itu semata-mata. Ia turut membincangkan pelbagai perkara lain yang melibatkan umat Islam di negara ini,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, turut dijangka menyertai muzakarah itu ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang mengemukakan bantahan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak terhadap keputusan Kabinet dalam penubuhan jawatankuasa khas berkenaan.

Harussani semalam melahirkan rasa kesal dan dukacita terhadap kelulusan jawatankuasa khas itu yang dibimbangi akan menimbulkan tuntutan tidak munasabah di kalangan penganut agama lain.

Mufti Johor sokong Perak

JOHOR BAHRU 13 April – Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Shamsuddin menyokong keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang membantah penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama. Katanya, secara peribadi beliau cenderung untuk menyokong keputusan Perak tersebut kerana alasan dan hujah yang dikemukakan adalah tepat dan wajar.

“Sebagai orang Islam kita mesti berasa bimbang dengan status agama kita pada masa depan apabila Islam boleh dibincangkan di peringkat pelbagai agama dan dibimbangi akan wujud pelbagai tuntutan di kalangan penganut agama lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun Tahrir menegaskan Majlis Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor belum membuat sebarang keputusan.

Di Ipoh, Gagasan Melayu Perak (GMP) turut menyokong langkah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak membantah penubuhan jawatankuasa itu.

Presidennya, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan taktik halus pihak tertentu meminggirkan Islam sebagai agama rasmi serta membelakangkan Majlis Raja -Raja.

Sementara itu di Pulau Pinang, Jawatankuasa Fatwa negeri akan mendapatkan pandangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebelum membuat pendirian.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad berkata, beliau akan menghadiri mesyuarat khas bersama Jakim di Putrajaya esok.

Menurutnya, Jawatankuasa Fatwa Negeri negeri hanya akan bermesyuarat pada 30 April ini.

Mufti akan diberi penjelasan – TPM


Muhyiddin Yassin sempat meluangkan masa beramah mesra bersama warga tempatan ketika melawat sekitar kawasan Pasar Pagi @ Pekan Nat di Simpang Empat Perlis, semalam.


KANGAR 13 April – Perjumpaan khas dengan semua mufti akan diadakan dalam masa terdekat bagi menerangkan fungsi sebenar jawatankuasa khas berhubung isu antara agama, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah diarahkan untuk mengadakan perjumpaan tersebut yang mungkin akan berlangsung dalam masa sehari dua ini.

Katanya, penerangan itu bagi menjelaskan peranan jawatankuasa berkenaan yang sebenarnya tidak mencampuri urusan pokok agama Islam.

‘‘Jawatankuasa yang ditubuhkan baru-baru ini, berbeza dengan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan Majlis Antara Agama yang telah ditolak kerajaan sebelum ini, jawatankuasa ini hanyalah sebuah badan di peringkat pentadbiran bagi berbincang mengenai usaha untuk mengukuhkan perpaduan,’’ katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Pemimpin Komponen Barisan Nasional Negeri Perlis di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang mengambil ketetapan sebulat suara membantah kelulusan Kabinet terhadap penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan dukacita terhadap kelulusan jawatankuasa khas itu berkata, ia bukan medium yang sesuai kerana dibimbangi wujud tuntutan tidak munasabah dalam kalangan penganut agama lain.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu akan berbincang mengenai usaha untuk meningkatkan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama dan ia terletak di bawah Panel Perpaduan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, jawatankuasa itu tidak akan membincangkan perkara-perkara berkaitan tuntutan agama sebaliknya ia adalah satu ruang kepada semua pihak untuk berbincang dan berusaha memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

‘‘Jawatankuasa itu tidak akan mengambil sebarang tindakan, semua cadangan akan diserahkan kepada kita dan kita yang nilai,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri menafikan laporan portal berita propembangkang, Malaysiakini kononnya beliau mengkategorikan jawatankuasa tersebut sebagai ‘tidak penting’.

Katanya, laporan mengenai perkara itu sengaja ditulis oleh pihak yang berkepentingan sedangkan beliau langsung tidak menyebut perkataan tersebut.

“Laporan dalam Malaysiakini memuatkan kononnya saya menyebut ‘small fry’ (tidak penting) terhadap jawatankuasa itu. Saya langsung tidak menyebut perkataan tersebut.

‘‘Saya percaya pihak berkenaan mempunyai kepentingan tertentu sehingga mereka meletakkan saya menggunakan perkataan tersebut terhadap jawatankuasa berkenaan.

‘‘Saya akan teliti laporan media dan media itu haruslah lebih bertanggungjawab. Saya telah lama dalam politik, saya tahu apa media mahu, Saya jelaskan satu persatu supaya media menulisnya satu persatu,” tegasnya.

06 April 2010

Nak naik gaji....kene keje kuat2

1.2 juta penjawat awam perlu tingkat produktiviti jika mahu kenaikan gaji

KUALA LUMPUR: Cuepacs memberi jaminan 1.2 juta penjawat awam di negara ini akan bersama kerajaan bagi menyokong inisiatif menjadikan Malaysia sebagai negara ekonomi berpendapatan tinggi.

Presidennya, Omar Osman, berkata sebagai tulang belakang kerajaan, penjawat awam perlu bersedia memberi komitmen sepanjang perkhidmatan bagi meningkatkan produktiviti ke tahap membanggakan.

“Jika mahukan satu perubahan atau peningkatan dalam gred gaji, penjawat awam perlu sedar kerajaan perlu melihat kembali prestasi mereka untuk memastikan ia dapat dilaksanakan.

“Jika produktiviti meningkat dan pendapatan negara di luar jangkaan, saya percaya Perdana Menteri akan akur dengan tuntutan sektor awam,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak dipetik sebagai berkata, gaji kakitangan awam boleh dinaikkan dengan syarat 1.2 juta penjawat awam meningkatkan produktiviti dan menyokong inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara ekonomi berpendapatan tinggi.

Perdana Menteri juga dilaporkan berkata, selagi produktiviti negara meningkat, gaji kakitangan awam akan diselaraskan seiring dengan ekonomi yang lebih kukuh.

Omar berkata, kenyataan Perdana Menteri boleh diibaratkan sebagai penanda aras kepada kakitangan awam untuk memastikan mereka boleh menikmati gaji setanding negara membangun yang lain.
Sehubungan itu, katanya, kakitangan awam perlu melakukan satu anjakan paradigma dari aspek cara bekerja, lebih berdaya saing, kreatif dan inovatif selain memastikan etika sentiasa dipatuhi serta tidak terbabit dengan rasuah.

Bagaimanapun, Cuepacs mahu kerajaan lebih telus dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang disifatkannya sebagai satu cara meningkatkan hasil kerajaan.

“Kakitangan awam terutama kumpulan pelaksana perlu diberikan taklimat mengenai GST dengan jelas dan memberi peluang untuk berdialog dengan kerajaan bagi memastikan pelaksanaannya tidak membebankan kumpulan berpendapatan rendah.

“Jika GST boleh menjana pendapatan kerajaan tanpa menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah, maka Cuepacs tidak mempunyai halangan untuk dasar itu dilaksanakan,” katanya.

Orang Gomen buat koje elok2 tau...

  NAJIB   menerima   Anugerah Kepimpinan Transformasi daripada  Pengerusi Asli, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah   pada  Forum Persidangan  Kepimpinan Asean Axiata di Hotel  Resort Sunway, semalam.
NAJIB menerima Anugerah Kepimpinan Transformasi daripada Pengerusi Asli, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah pada Forum Persidangan Kepimpinan Asean Axiata di Hotel Resort Sunway, semalam.

Penjawat awam perlu lebih kreatif, inovatif laksana tugas pentadbiran


PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak meminta penjawat awam komited bagi menghadapi cabaran untuk menguruskan negara berbilang kaum, budaya dan agama yang fikiran rakyatnya semakin kritikal dan lebih canggih dari segi jangkaan serta harapan terhadap kerajaan.

Perdana Menteri berkata, kerajaan pimpinannya yang kini berusia setahun, menghadapi pelbagai cabaran seperti hubungan antara kaum membabitkan soal pertikaian agama termasuk perkahwinan atau perceraian, kematian serta isu kalimah Allah yang memerlukan perhatian dan pertimbangan teliti.

“Mentadbir masyarakat majmuk ini menjadi cabaran bagaimana kita nak menguruskannya, bagaimana kita nak membenarkan keterbukaan dan setakat mana kita nak benarkan perbezaan pendapat dalam negara kita, termasuk bagaimana nak menguruskan media baru.

"Kakitangan awam perlu mencari penyelesaian yang kreatif dan inovatif, membuat keputusan secara pantas dan menepati tempoh ditetapkan untuk menyempurnakan sesuatu kerja”

Najib Razak
Perdana Menteri


“Kita memerlukan pendekatan terkini bagi menghadapi cabaran baru daripada masyarakat yang semakin canggih dan rakyat yang lebih matang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, semalam.

Justeru, katanya, kakitangan awam perlu mencari penyelesaian yang kreatif dan inovatif, membuat keputusan secara pantas dan menepati tempoh masa ditetapkan untuk menyempurnakan sesuatu kerja selain mengutamakan keberhasilan berbanding kuantiti supaya rakyat lebih yakin kepada kerajaan.

Beliau juga menekankan keperluan memaksimumkan nilai pulangan daripada apa juga perbelanjaan yang dilakukan oleh kerajaan supaya sesuatu matlamat boleh diselesaikan dengan perbelanjaan yang lebih kecil tetapi tanpa bertolak ansur dari segi keupayaan atau jangka hayat.

Pada 8 Februari lalu, Perdana Menteri menggariskan empat tonggak utama kerajaan termasuk gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan; Program Transformasi Kerajaan (GTP); Model Ekonomi Baru (MEB) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) serta Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) .
Beliau berkata, empat tonggak itu bersama enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan sebelum ini berkait rapat dengan perjuangan melakukan transformasi besar kepada ekonomi jika negara tidak mahu ketinggalan atau tersangkut dalam perangkap negara berpendapatan pertengahan.

“Saya dah pernah sebut mengenai empat tonggak utama kerajaan ini menggunakan kiasan asas sebuah rumah yang mana bumbungnya ialah gagasan 1Malaysia, tiang seri rumah ni lain sikit sebab ada dua iaitu GTP dan MEB, manakala lantainya ialah RMK-10 dan RMK-11.

“Inilah matlamat dan landasan kerajaan, kita sekarang berada pada peringkat pelaksanaan dan pada tahun-tahun mendatang kita mahu mengamal pakai kaedah dikenal pasti bagi mempertingkatkan sistem penyampaian kepada rakyat,” katanya.

Tol Nak Naik Lagi.....Gaji masih tak naik2.

Pemegang konsesi diberi opsyen elak bebankan pengguna

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerjaraya mencadangkan supaya kenaikan kadar tol bagi lebuh raya hanya dibenarkan bagi laluan yang mempunyai jalan alternatif, manakala pemegang konsesi lebuh raya dalam bandar diberikan opsyen lain supaya tidak membebankan pengguna.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata cadangan itu sudah dikemukakan kepada makmal yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk kajian lanjut dan keputusan.

“Cadangan kementerian sedang dalam pertimbangan JPM, termasuk dengan mengumpul maklum balas daripada orang awam.

“Sekiranya kadar tol dinaikkan, perlu ada alternatif yang jelas seperti perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban, selain Lebuh Raya Utara-Selatan ada alternatif untuk pengguna.

“Namun, sekiranya lebuh raya dalam ibu kota yang hanya dinaik taraf dan tidak ada jalan alternatif jelas, kementerian mencadangkan ia dilihat semula, bagaimana untuk memberi opsyen kepada pengguna sebelum tol dinaikkan,” katanya selepas majlis pembukaan Persidangan dan Pameran Lebuh Raya Antarabangsa Plus (PIECE) 2010 anjuran Plus Expressways Berhad di sini, semalam.

Shaziman berkata, walaupun ada perjanjian antara syarikat konsesi tol dengan kerajaan berhubung kenaikan kadar tol dalam tempoh tertentu, namun ia harus menjaga kepentingan banyak pihak termasuk kebajikan orang awam dan beban ditanggung kerajaan.

“Sekiranya perlu, bagi mengelakkan kenaikan tol atau pembayaran pampasan oleh kerajaan, kita boleh runding dengan pemegang konsesi untuk dipanjangkan tempoh konsesi mereka.
“Kita tidak mahu kerajaan membayar ganti rugi yang tinggi dan adil juga bagi pembayar cukai yang duduk di kawasan yang tidak menggunakan lebuh raya seperti di Sabah dan Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Shaziman berkata, sebanyak enam projek lebuh raya bernilai kira-kira RM10 bilion kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2012.

Lebuh raya itu adalah Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghubungkan Putrajaya dan Pulau Indah, Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE) di Johor Bahru, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (KLKS), Lebuh Raya Penyuraian Timur Johor Bahru (EDL), Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

Pelaksanaan PTE diumum dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengumumkan pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (PTE) dalam masa terdekat dengan menjadikan sektor awam dan swasta sebagai ‘kenderaan’ utama memacu ekonomi negara ke tahap lebih memberangsangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata fasa pertama membabitkan kerjasama rakyat dan golongan perniagaan serta pelabur, bagi memastikan setiap peringkat masyarakat mendapat peluang memberikan input dalam proses membuat dasar.

“Era bahawa kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir... jadi kita mahu mendapatkan input dan pandangan semua pihak terutama rakyat sebagai pemegang saham utama. Bagi fasa kedua, adalah tempoh perundingan dengan semua butiran dirangka bagi membentuk pelan induk dan peta perjalanan bagaimana Model Ekonomi Baru (MEB) dapat dilaksanakan.

“Kita akan berkongsi butiran lanjut mengenai PTE dalam masa terdekat, tapi saya bangga untuk memperkatakannya bahawa prosesnya sudah bermula,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Persidangan Kepimpinan Asean Axiata ke-7, di sini semalam.

Forum bertemakan Transformasi Asean: Menuju Ke Hadapan itu dianjurkan oleh Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli).

Pada majlis itu, Najib menerima Anugerah Kepimpinan Transformasi yang kali pertama diberikan kepada pemimpin Asean sebagai menghargai jasa serta sumbangan Perdana Menteri membawa perubahan dan pembaharuan kepada negara dan masyarakat yang beliau terajui.

Anugerah yang disampaikan Pengerusi Asli, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah itu dianjurkan oleh Asli dengan kerjasama Forum Perniagaan Asean dan majalah Aseanaffair. Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew pernah menerima Anugerah Pencapaian Milenium Asean pada 2001.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Kemboja, Keo Puth Reasmey; Penasihat Presiden Filipina, Annabella Abaya; Ketua Pegawai Eksekutif Asli, Datuk Michael Yeoh; dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Berhad, Datuk Seri Jamaluddin Ibrahim.

Najib berkata, transformasi ekonomi bukan perkara mudah, tetapi yakin Malaysia bersedia untuk perubahan itu yang akan memberi manfaat besar kepada setiap lapisan rakyat tanpa mengira kaum dan kedudukan sosial.

05 April 2010

Suntikan vaksin percuma kurang dapat sambutan: Liow

KUALA LUMPUR: Sikap suka tunggu dan lihat terutama di kalangan kumpulan berisiko terhadap jangkitan Influenza A (H1N1) iaitu pesakit kronik, obesiti dan wanita hamil untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mencegah penyakit berkenaan, boleh meningkatkan risiko penularan wabak yang lebih serius.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata walaupun suntikan vaksin diberi secara percuma di 104 pusat kesihatan di seluruh negara, masih ada yang tidak mengendahkannya dan menganggap tidak penting bagi mereka untuk mendapatkan suntikan berkenaan.

Katanya, kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa jika ada pihak yang memandang ringan mengenai perkara itu kerana ia bergantung kepada kerelaan mereka untuk berbuat demikian

Kita hanya boleh menasihatkan orang ramai terutama dalam kelompok kumpulan berisiko supaya mendapatkan vaksin dengan segera kerana ia boleh membantu mencegah penularan wabak yang lebih serius,Selain itu orang ramai perlu berhati-hati dan lebih bertanggungjawab terhadap orang lain dengan mengasingkan diri atau memakai topeng jika menghidap selsema, batuk atau demam terutama apabila berada di khalayak ramai, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Liow dalam kenyataannya dilaporkan berkata, dua kes kematian yang dikaitkan dengan jangkitan H1N1 di Hospital Melaka pada 31 Mac dan 2 April lalu membabitkan dua anak beranak masing-masing wanita berumur 54 tahun yang juga pesakit diabetes dan anaknya berusia 29 tahun yang hamil 32 minggu.

Liow berkata, sehingga petang semalam, dua kes kluster kecil iaitu di Gua Musang, Kelantan dan Melaka Tengah dikesan mengalami gejala seakan selsema (ILI).
Beliau berkata, kes di Gua Musang membabitkan empat pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), manakala di Melaka Tengah membabitkan dua sekeluarga.

Kita sudah mengambil sampel dan keputusan akan diketahui dalam masa sehari dua lagi, katanya.

Katanya, setakat ini tiada peningkatan H1N1 secara mendadak dan keadaan masih terkawal walaupun ada kes setiap hari dirujuk ke pusat kesihatan.

Ali Rustam saran swasta labur MEB

KUALA LUMPUR: Bagi menjayakan dasar Model Ekonomi Baru (MEB), sektor swasta disaran melabur di dalam negara sendiri demi menjana ekonomi negara ke arah yang lebih baik sekali gus dapat membela nasib rakyat.

Saranan itu dikemukakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam kerana banyak sektor swasta yang tidak mahu melabur malah lebih rela menyimpan kekayaan yang dimiliki.

Beliau berkata, tanggungjawab membela nasib rakyat bukan terletak di bahu kerajaan semata-mata namun ia juga mesti mendapat kerjasama agensi lain khususnya swasta.

Orang kaya di Malaysia lebih gemar menyimpan kekayaan mereka di bank berbanding membuat pelaburan bagi memberi faedah kepada rakyat dan juga negara.

Sikap itu menunjukkan yang mereka hanya bersemangat untuk membela diri sendiri berbanding semangat bela negara. Mereka tidak kisah apa hendak jadi dengan orang lain asal diri sendiri dan keluarga senang, katanya selepas merasmikan Program Juara Rakyat bertemakan Bulan Agensi Kerajaan yang dianjurkan Umno Bahagian Segambut di sini, semalam.

Mohd Ali yang juga Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata penyertaan sektor swasta dalam pelaburan dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat sekali gus mampu memajukan negara.

Program itu bertujuan mendekatkan masyarakat dengan Agensi Kerajaan dan memberi peluang kepada orang ramai mengenali fungsi kerajaan serta agensi di bawahnya dengan lebih dekat.
Melalui program terbabit sebanyak 18 agensi mengambil bahagian antaranya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN); Jabatan Pendaftaran Negara (JPN); Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK); Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama); Cybersecurity; Bomba dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

750,000 rumah ada HSBB Disember

PELABURAN Telekom Malaysia Bhd dalam pembangunan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) akan mencapai kemuncaknya tahun ini, susulan sasarannya untuk menyambung lebih 750,000 rumah menjelang Disember ini, kata Ketua Eksekutifnya, Datuk Zamzamzairani Isa.

Pelaburan dalam HSBB akan mencecah kemuncak tahun ini membabitkan sejumlah RM2 bilion.

Ketika ini, kami mendahului jadual pengenalan perkhidmatan itu dan sepatutnya menyambung HSBB kepada 300,000 kediaman sehingga akhir Mac. Bagaimanapun, sasaran diraih seminggu lebih awal daripada jangkaan, katanya selepas menghadiri Persidangan Invest Malaysia 2010 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

TM baru-baru ini melancarkan perkhidmatan HSBB kepada pengguna Malaysia, yang turut menyediakan perkhidmatan televisyen protokol Internet (IPTV).

Kemajuan penyediaan perkhidmatan HSBB amat baik. Sambutan pengguna amat memberangsangkan.

Ketika ini hampir 500 (pelanggan) sudah mengesah untuk menggunakan perkhidmatan itu. Kami gembira dengan perkembangan itu dan perlu bersiap sedia kerana perlu memasang kotak set-top secepat mungkin, katanya.

Zamzamzairani berkata, TM memerlukan beberapa bulan untuk menganalisis aliran perkhidmatan HSBB sebelum dapat menganggarkan potensi permintaan perkhidmatan itu.

Kejap ok, kejap tidak,

Malaysia perlu peka ekonomi sekitar bagi hadapi persaingan

DATUK Seri Najib Tun Razak berjanji akan melaksanakan dasar bagi memastikan persekitaran pelaburan Malaysia kekal sesuai dan berdaya saing untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).

Perdana Menteri menegaskan, Malaysia akan lebih peka terhadap keperluan pelabur asing serta pelabur dalam negara bagi berdepan persaingan sengit di pasaran antarabangsa.

"Kita menyedari persekitaran ekonomi sudah berubah. Akan ada lebih banyak negara ekonomi baru muncul yang menawarkan kos buruh yang lebih menarik dan rendah daripada kita dan ada di antaranya adalah pasaran yang besar.

Dunia sekarang berbeza daripada 80-an dan 90-an. Malaysia perlu bersaing dengan lebih banyak negara dan mereka akan mendapati China adalah pasaran yang besar dan lebih baik untuk pelaburan.

Tetapi saya yakin kita akan dapat menarik bahagian kita dalam FDI tahun ini dan tahun depan. Kita harus membuat pasaran teruja dengan reformasi kita, katanya dalam program Setahun di Aras 5: Temubual Khas Bersama Perdana Menteri, siaran khas Bernama TV sempena setahun beliau menjadi Perdana Menteri.

Seluruh dunia merana tahun lalu dan keadaan kita yang tidak sebegitu teruk terjejas, pada pendapat saya menunjukkan tahap keyakinan terhadap Malaysia dan bahawa tahun ini akan menjadi lebih baik," tambah Perdana Menteri ketika menjawab pertanyaan Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Zulkefli Salleh dan Editor Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama , Mikhail Raj Abdullah dalam program itu.

Beliau berkata, adalah sukar bagi Malaysia mengekalkan aliran masuk pelaburan tahun lalu berikutan kelembapan ekonomi dunia dan bukan kerana tidak lagi kompetitif untuk menarik FDI.
Najib, yang juga menteri kewangan mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB) Selasa minggu lalu yang bertujuan menjadikan Malaysia lebih kompetitif di rantau ini dan dunia bagi meningkatkan pendapatan perkapita negara kepada AS$15,000 menjelang akhir dekad ini daripada AS$7,000 sekarang.

Mengenai liberalisasi sektor perkhidmatan kewangan, Perdana Menteri berkata bilangan pemohon diterima daripada bank asing mula menambah kepada aliran masuk pelaburan dalam industri perkhidmatan kewangan.

Beliau berkata, kerajaan sedang memproses permohonan daripada dua bank Islam mega dari India dan Asia Barat dengan modal berbayar sebanyak AS$1 bilion setiap satu.

"Ada perkara menarik yang akan diumumkan tidak lama lagi," katanya.

Pada November 2009, Kementerian Kewangan meluluskan pengeluaran lesen bank komersial kepada Industrial and Commercial Bank of China Ltd (ICBC),

Mengenai industri halal, Najib berkata inisiatif kerajaan akan memastikan Malaysia di depan negara lain yang turut serta dalam industri yang semakin berkembang itu seperti Argentina, Australia dan Brazil.

Beliau berkata jenama halal negara, atas inisiatif Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempunyai integriti dan reputasi kukuh.

"Kita sedang mempromosikan hab halal Malaysia tetapi kita perlu mempunyai jalinan dengan negara lain jika kita mahu mengeksport makanan halal memandangkan kita adalah pengimport bersih makanan, katanya. - Bernama

Satu Malaysia........Islam Hadhari.......Wawasan 2020

Pembangkang sebar fitnah tidak puas hati gagasan diterima rakyat: PM

KUALA LUMPUR: Idea Gagasan 1Malaysia adalah cetusan percambahan fikiran Datuk Seri Najib Razak bersama pelbagai kumpulan ke arah mewujudkan wadah baru untuk memperkukuhkan perpaduan nasional.

Perdana Menteri berkata, dakwaan kononnya slogan 1Malaysia datangnya dari negara luar, termasuk Israel adalah fitnah pembangkang semata-mata, sebaliknya beliau berbincang dengan beberapa rakan selepas menyedari kepentingan usaha baru ke arah penyatuan rakyat.

Saya bincang dengan beberapa teman sebab amat penting kita membuat usaha baru ke arah perpaduan nasional... sebagai penyatuan. Jadi, saya selalu menjemput pelbagai kumpulan mengadakan percambahan fikiran dan apabila saya menggariskan perkara ini, bila kita lakukan percambahan fikiran, timbullah idea Gagasan 1Malaysia ini, katanya dalam wawancara khas yang disiarkan melalui Bernama TV sempena setahun menjadi Perdana Menteri.

Dalam program Setahun Di Aras 5: Temubual Khas Bersama Perdana Menteri, Najib ditemubual oleh Timbalan Ketua Pengarang Bernama, Zulkefli Salleh dan Editor Ekonomi, Mikhail Raj Abdullah di pejabatnya di Putrajaya.

Najib juga berkata, dakwaan pembangkang itu bertujuan merosakkan atau mencemar gagasan itu selepas idea berkenaan semakin hebat diterima oleh rakyat.

Mereka (pembangkang) tak berani serang Gagasan 1Malaysia. Mereka tidak dapat mempertikaikan, mereka cuba untuk merosakkan, mencemar dan mencalarnya melalui kononnya ilham atau idea yang datang dari negara luar. Ini satu fitnah tidak benar, tidak berasas sama sekali, katanya merujuk kepada dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen baru-baru ini.

Perdana Menteri berkata kemuncak kepada penghayatan Gagasan 1Malaysia ialah apabila ia membawa keuntungan strategik kepada rakyat dan negara.
Beliau menjelaskan Gagasan 1Malaysia meletakkan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan lain dan mengutamakan keberkesanan serta keberhasilan sesuatu program yang dirancang.

Najib juga berkata, kefahaman rakyat terhadap Gagasan 1Malaysia makin meningkat apabila banyak badan korporat menggunakan 1Malaysia sebagai simbol dalam logo mereka.

Sebutan Salam 1Malaysia umpamanya menjadi kelaziman sekarang dan ada juga perkahwinan 1Malaysia. Jadi, saya lihat ia sudah menjadi satu gerakan massa, katanya.

Mengenai halangan terhadap Gagasan 1Malaysia, Perdana Menteri berkata, ia lebih di kalangan golongan yang masih memikirkan kepentingan kelompok atau kaum masing-masing tanpa usaha ke arah penyatuan. - Bernama

Autobot...transform

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata usaha kerajaan melakukan transformasi besar terhadap ekonomi negara adalah satu perjuangan yang besar ertinya.

Perdana Menteri berkata ini kerana kerajaan tidak mahu Malaysia ketinggalan atau "tersangkut dalam perangkap" negara berpendapatan pertengahan.

"Jadi program transformasi ekonomi ini amat penting bagi kita untuk melakukan perjalanan ini," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Dataran Perdana di sini hari ini.

Najib berkata usaha melaksanakan transformasi terhadap ekonomi negara itu adalah cabaran yang perlu dipikul bersama penjawat awam terutama selepas setahun beliau menerajui kerajaan masa ini.


Malah, katanya, Program Transformasi Kerajaan (PTK) yang diperkenalkan sebelum ini adalah satu cabaran bagi menggambarkan hasrat kerajaan dalam memenuhi jangkaan dan harapan rakyat.

Zaman sekarang tegur boleh mati

KOTA BHARU: Puncanya hanya kerana menghayunkan tongkat akibat memarahi tindakan seorang wanita membuang sampah, namun malang bagi seorang warga emas apabila dibelasah beberapa individu di Lorong Tok Gading, dekat sini, pada 30 Mac lalu.

Berikutan itu, lelaki terbabit yang juga seorang tukang urut, Mamauod Talib, 55, terpaksa dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, kerana cedera parah di kepala akibat dipukul menggunakan objek keras.


Mangsa yang kritikal kemudian dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, kira-kira jam 12.30 tengah malam Khamis lalu.


Bagaimanapun, selepas menerima rawatan dua hari, warga emas itu yang mempunyai tujuh anak disahkan meninggal dunia akibat kecederaan teruk di bahagian belakang kepala dan tulang pipi.


Menceritakan detik menyayat hati menimpa arwah suaminya, Siti Fatimah Awang, 50, berkata, sebelum kejadian, arwah suami bersama anak bongsu, Nur Fatihatu Mujahadah, 3, menaiki motosikal keluar mencari tukang untuk membaiki pendawaian elektrik kira-kira jam 6.30 petang.


“Ketika saya berada di belakang rumah bersama kambing peliharaan, jiran memberitahu suami dipukul. Saya kemudian bergegas ke tempat kejadian yang jaraknya kira-kira 50 meter.

“Pada masa sama, anak bongsu pulang memberitahu abahnya dipukul. “Ketika ke tempat kejadian, saya lihat suami dalam keadaan terlentang dan darah keluar dari mulutnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Lorong Tok Gading, semalam.


Menurutnya, dengan bantuan keluarga yang menghubungi pihak hospital, ambulans datang membawa suami ke HRPZ II untuk rawatan.


Katanya, berikutan keadaannya yang kritikal, arwah dirujuk ke HUSM dan pembedahan dilakukan sebelum disahkan meninggal dunia, malam Khamis lalu.


Suri rumah itu mendakwa, sebelum kejadian, suaminya dikatakan menegur seorang wanita warga emas berusia 70-an yang sedang membuang sampah di tepi jalan selain sempat menghayunkan tongkatnya ke arah wanita itu.

Boleh naik gaji kalau.........????

KUALA LUMPUR: Gaji kakitangan awam boleh dinaikkan dengan syarat 1.2 juta penjawat awam meningkatkan produktiviti dan menyokong inisiatif kerajaan untuk Malaysia menjadi ekonomi berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam.

Beliau berkata, selagi produktiviti meningkat, gaji mereka akan diselaraskan seiring dengan ekonomi yang lebih kukuh.


“Gaji mereka akan diselaraskan mengikut perkembangan. Apa yang penting ialah dengan pengukuhan ekonomi, perolehan kerajaan juga meningkat,” kata beliau dalam program ‘Setahun di Aras 5: Temubual Khas Bersama Perdana Menteri’ yang disiarkan Bernama TV.


Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut menegaskan mengenai kepentingan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebagai satu daripada cara meningkatkan hasil kerajaan.

“Itulah sebabnya GST amat penting. Rakyat mahukan gaji yang lebih tinggi, tetapi tidak mahu menyokong GST. Saya memerlukan sokongan 1.2 juta penjawat awam. Sekiranya anda mahu dibayar gaji yang lebih baik di masa depan, saya perlu mengukuhkan asas perolehan kerajaan kerana kalau tidak, dari mana saya akan dapat wang untuk membayar penjawat awam?” katanya.


Beliau berkata dengan mendapat sokongan daripada semua penjawat awam, akan membolehkan kerajaan melakukan yang lebih baik untuk semua rakyat.


Mengenai bagaimana beliau merancang untuk menyelaras objektif Model Ekonomi Baru (MEB) bagi mencapai ekonomi nilai tinggi dan memastikan kos rendah, Najib berkata, dengan MEB, ia boleh mewujudkan Malaysia sebagai ekonomi yang inovatif, dipacu oleh kebijaksanaan dan bakat yang baik.

Mengenai saranan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) supaya Bumiputera memiliki 67 peratus daripada kekayaan ekonomi negara, Perdana Menteri berkata, kedudukan Bumiputera yang masih tidak mencapai taraf yang sepatutnya bermakna kerajaan harus meneruskan tindakan afirmatif, tetapi pada masa yang sama memperbetulkan kelemahan yang jelas kelihatan dalam pelaksanaan sebelumnya.

“Jadi apa yang ingin saya katakan ialah, kita tidak sepatutnya terlalu taksub dengan satu pandangan, tetapi biarlah kita melihat dengan cara yang akan memberikan perasaan bersatu sebagai satu negara dan satu masyarakat,” katanya.

Mengenai keraguan terhadap tender terbuka dan sama ada ia benar-benar telus, Najib berkata melalui inisiatif baru, ia akan telus memandangkan orang ramai akan dapat melihat syarikat mana yang gagal dan yang mana akan mendapat bida itu serta harga bidaan yang ditawarkan syarikat terbabit.

“Jadi, rakyat boleh mengkritik kerajaan jika mereka merasakan proses itu tidak adil,” kata Najib, yang genap setahun menjadi Perdana Menteri pada 3 April. - Bernama