06 April 2010

Tol Nak Naik Lagi.....Gaji masih tak naik2.

Pemegang konsesi diberi opsyen elak bebankan pengguna

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerjaraya mencadangkan supaya kenaikan kadar tol bagi lebuh raya hanya dibenarkan bagi laluan yang mempunyai jalan alternatif, manakala pemegang konsesi lebuh raya dalam bandar diberikan opsyen lain supaya tidak membebankan pengguna.

Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor, berkata cadangan itu sudah dikemukakan kepada makmal yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk kajian lanjut dan keputusan.

“Cadangan kementerian sedang dalam pertimbangan JPM, termasuk dengan mengumpul maklum balas daripada orang awam.

“Sekiranya kadar tol dinaikkan, perlu ada alternatif yang jelas seperti perjalanan dari Kuala Lumpur ke Seremban, selain Lebuh Raya Utara-Selatan ada alternatif untuk pengguna.

“Namun, sekiranya lebuh raya dalam ibu kota yang hanya dinaik taraf dan tidak ada jalan alternatif jelas, kementerian mencadangkan ia dilihat semula, bagaimana untuk memberi opsyen kepada pengguna sebelum tol dinaikkan,” katanya selepas majlis pembukaan Persidangan dan Pameran Lebuh Raya Antarabangsa Plus (PIECE) 2010 anjuran Plus Expressways Berhad di sini, semalam.

Shaziman berkata, walaupun ada perjanjian antara syarikat konsesi tol dengan kerajaan berhubung kenaikan kadar tol dalam tempoh tertentu, namun ia harus menjaga kepentingan banyak pihak termasuk kebajikan orang awam dan beban ditanggung kerajaan.

“Sekiranya perlu, bagi mengelakkan kenaikan tol atau pembayaran pampasan oleh kerajaan, kita boleh runding dengan pemegang konsesi untuk dipanjangkan tempoh konsesi mereka.
“Kita tidak mahu kerajaan membayar ganti rugi yang tinggi dan adil juga bagi pembayar cukai yang duduk di kawasan yang tidak menggunakan lebuh raya seperti di Sabah dan Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Shaziman berkata, sebanyak enam projek lebuh raya bernilai kira-kira RM10 bilion kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2012.

Lebuh raya itu adalah Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) menghubungkan Putrajaya dan Pulau Indah, Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE) di Johor Bahru, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (KLKS), Lebuh Raya Penyuraian Timur Johor Bahru (EDL), Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

No comments:

Post a Comment