14 April 2010

Mufti akan diberi penjelasan – TPM


Muhyiddin Yassin sempat meluangkan masa beramah mesra bersama warga tempatan ketika melawat sekitar kawasan Pasar Pagi @ Pekan Nat di Simpang Empat Perlis, semalam.


KANGAR 13 April – Perjumpaan khas dengan semua mufti akan diadakan dalam masa terdekat bagi menerangkan fungsi sebenar jawatankuasa khas berhubung isu antara agama, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah diarahkan untuk mengadakan perjumpaan tersebut yang mungkin akan berlangsung dalam masa sehari dua ini.

Katanya, penerangan itu bagi menjelaskan peranan jawatankuasa berkenaan yang sebenarnya tidak mencampuri urusan pokok agama Islam.

‘‘Jawatankuasa yang ditubuhkan baru-baru ini, berbeza dengan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan Majlis Antara Agama yang telah ditolak kerajaan sebelum ini, jawatankuasa ini hanyalah sebuah badan di peringkat pentadbiran bagi berbincang mengenai usaha untuk mengukuhkan perpaduan,’’ katanya.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Pemimpin Komponen Barisan Nasional Negeri Perlis di sini hari ini.

Beliau mengulas keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang mengambil ketetapan sebulat suara membantah kelulusan Kabinet terhadap penubuhan jawatankuasa khas berhubung isu antara agama.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang melahirkan dukacita terhadap kelulusan jawatankuasa khas itu berkata, ia bukan medium yang sesuai kerana dibimbangi wujud tuntutan tidak munasabah dalam kalangan penganut agama lain.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, jawatankuasa itu akan berbincang mengenai usaha untuk meningkatkan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama dan ia terletak di bawah Panel Perpaduan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Perdana Menteri.

Menurutnya, jawatankuasa itu tidak akan membincangkan perkara-perkara berkaitan tuntutan agama sebaliknya ia adalah satu ruang kepada semua pihak untuk berbincang dan berusaha memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.

‘‘Jawatankuasa itu tidak akan mengambil sebarang tindakan, semua cadangan akan diserahkan kepada kita dan kita yang nilai,’’ jelasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri menafikan laporan portal berita propembangkang, Malaysiakini kononnya beliau mengkategorikan jawatankuasa tersebut sebagai ‘tidak penting’.

Katanya, laporan mengenai perkara itu sengaja ditulis oleh pihak yang berkepentingan sedangkan beliau langsung tidak menyebut perkataan tersebut.

“Laporan dalam Malaysiakini memuatkan kononnya saya menyebut ‘small fry’ (tidak penting) terhadap jawatankuasa itu. Saya langsung tidak menyebut perkataan tersebut.

‘‘Saya percaya pihak berkenaan mempunyai kepentingan tertentu sehingga mereka meletakkan saya menggunakan perkataan tersebut terhadap jawatankuasa berkenaan.

‘‘Saya akan teliti laporan media dan media itu haruslah lebih bertanggungjawab. Saya telah lama dalam politik, saya tahu apa media mahu, Saya jelaskan satu persatu supaya media menulisnya satu persatu,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment