05 April 2010

750,000 rumah ada HSBB Disember

PELABURAN Telekom Malaysia Bhd dalam pembangunan infrastruktur jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) akan mencapai kemuncaknya tahun ini, susulan sasarannya untuk menyambung lebih 750,000 rumah menjelang Disember ini, kata Ketua Eksekutifnya, Datuk Zamzamzairani Isa.

Pelaburan dalam HSBB akan mencecah kemuncak tahun ini membabitkan sejumlah RM2 bilion.

Ketika ini, kami mendahului jadual pengenalan perkhidmatan itu dan sepatutnya menyambung HSBB kepada 300,000 kediaman sehingga akhir Mac. Bagaimanapun, sasaran diraih seminggu lebih awal daripada jangkaan, katanya selepas menghadiri Persidangan Invest Malaysia 2010 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

TM baru-baru ini melancarkan perkhidmatan HSBB kepada pengguna Malaysia, yang turut menyediakan perkhidmatan televisyen protokol Internet (IPTV).

Kemajuan penyediaan perkhidmatan HSBB amat baik. Sambutan pengguna amat memberangsangkan.

Ketika ini hampir 500 (pelanggan) sudah mengesah untuk menggunakan perkhidmatan itu. Kami gembira dengan perkembangan itu dan perlu bersiap sedia kerana perlu memasang kotak set-top secepat mungkin, katanya.

Zamzamzairani berkata, TM memerlukan beberapa bulan untuk menganalisis aliran perkhidmatan HSBB sebelum dapat menganggarkan potensi permintaan perkhidmatan itu.

No comments:

Post a Comment